Bujang Senang

Bujang Senang

6 Jun 2016

PBB bantah Rang Undang-Undang hudud oleh PAS


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menegaskan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membantah usul Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Malah, Presiden PBB yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberitahu, Sarawak sebuah negeri yang berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Kita negeri yang berbilang kaum, masyarakat Islam di Sarawak hanya 25 peratus, kita bukan seperti Kelantan, jadi kita membantah Rang Undang-Undang hudud ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBB di Ibu Pejabat parti itu di Jalan Bako di sini, semalam.
RUU itu bertujuan meminda undang-undang persekutuan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi memberi laluan kepada pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan dan negeri-negeri lain.
Pada tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pelaksanaan hukuman hudud dan qisas di negeri itu, namun tersekat kerana kedudukan undang-undang persekutuan tidak membenarkan hukuman melebihi daripada yang ditetapkan sekarang.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pada sidang media berasingan berkata, RUU dibentangkan Presiden PAS itu merupakan RUU Ahli Persendirian menerusi usul dalam Klausa Dua RUU yang meminta seksyen dua akta itu dipinda.
“Dalam pindaan itu, anda memperluaskan bidang kuasa jenayah syariah di peringkat negeri hanya ke atas orang Islam. Maksud pindaan ini ialah, jika rompakan berkumpulan berlaku melibatkan enam penjenayah, tiga Islam dan tiga bukan Islam.
“Apabila disabit bersalah, tiga penjenayah Islam dipotong tangan dan bukan Islam hanya akan dipenjara. Bermakna, berlaku diskriminasi terhadap Islam kerana untuk akta sama tiga orang Islam dipotong tangan mereka manakala bukan Islam hanya dipenjara,” jelasnya.
Beliau menambah di bawah undang-undang, layanan tidak adil tidak wujud hanya kerana agama.
“Pindaan ini dengan terang-terangan bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan kerana tidak wujud layanan yang adil. Orang Islam didiskriminasi bagi akta sama, hukuman keras dikenakan ke atas mereka,” tegasnya.
Menurut beliau, Hadi boleh membentang RUU berkenaan di Parlimen, tetapi ia tidak perlu dibahaskan dan seharusnya ditolak kerana ia tidak termaktub di dalam Perlembagaan.
Borneopost

0 komentar: