Bujang Senang

Bujang Senang

8 Dis 2016

Malaysia belasah Myanmar 16-0, Harapan Myanmar Lenyap

 

Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak ASEAN 2016 selepas berpesta gol membelasah Myanmar 16-0 di Padang C Majlis Sukan Negara (MSN), pada aksi terakhir Kumpulan B semalam.

Kemenangan itu meletakkan skuad negara selaku juara Kumpulan B selepas mengumpul enam mata, diikuti Vietnam yang menewaskan Myanmar 18-2 .
Penyerang negara, Razilawali Wahab muncul wira pasukan apabila meledak tujuh gol, manakala Faza Firdaus Ghazali dan Nasharuddin Razali, masing-masing menyumbat dua gol.
Mak Chee Weng, Naim Mat Leh, Aqif Syafiq Maathe, Rahmatuddin Huzaizi dan Firdaus Sabudin, masing-masing menjaringkan satu gol.
Dalam saingan Kumpulan A, Thailand melengkapkan jadual peringkat kumpulan dengan meraih kemenangan ketiga mengalahkan Indonesia 7-2 dan mengumpul sembilan mata keseluruhan.
Mengiringi Thailand ke separuh akhir ialah Indonesia yang meraih enam mata hasil dua kemenangan dan sekali tewas.
Malaysia dijadual bertemu Indonesia di Padang C MSN dan Thailand menentang Vietnam di Padang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada aksi separuh akhir, hari ini.
Edisi pertama Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak ASEAN itu anjuran Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dengan kerjasama MSN dan FAM disertai tujuh pasukan iaitu Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam, Kemboja, Indonesia dan Malaysia.

0 komentar: