Bujang Senang

Bujang Senang

27 Jul 2017

Masjid Al-Aqsa, Catatan Perjalanan Penuh Debaran Datuk Akmar Hisham Mokhles


DALAM keadaan ketegangan semakin memuncak di perkarangan Masjid Al-Aqsa selepas rejim Tel Aviv mengenakan sekatan ke atas akses masjid tersebut, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles bersama media Malaysia melakukan perjalanan yang penuh debaran ke masjid ketiga paling suci orang Islam itu.

Rejim Israel telah bertindak memasang pengesan logam di pintu masuk al-Aqsa yang mencetuskan bantahan penduduk Palestin, dan berkemungkinan besar akan menyukarkan misi Datuk Akmar bersama media Malaysia untuk menjejakan kaki ke Masjid Al Aqsa.

PRU14.tv memaparkan catatan perjalanan beliau berdasarkan sumber yang diperolehi dari facebook Akmar Hisham Mokhles .  

Pada 23 Julai 2017 rombongan tersebut berlepas ke Amman, Jordan. Datuk Akmar mengetuai rombongan yang terdiri daripada 27 peserta dari Malaysia untuk program Misi Kemanusiaan dan Pertukaran Budaya Media Malaysia-Jordan. Program tersebut akan berlangsung dari 23 hingga 29 Julai 2017.

Mereka dijangka tiba di Amman subuh keesokan hari dan di sana beberapa program telah diatur untuk mereka. Program ini menyaksikan peserta negara kita diwakili dari pelbagai kaum.

Mereka selamat mendarat di Amman, Jordan  diQueen Alia International Airport  seperti yang dijadualkan.

Di sempadan Jordan-Israel. Menunggu dengan sabar di atas bas sementara menanti pasport di cop. Tadi Alhamdulillah, tiada sebarang masalah ketika tiba di lapangan terbang.

Alhamdulillah, kami telah selamat tiba di kota lama Jerusalem. Sekejap lagi akan cuba masuk ke Masjid Al Aqsa untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Ramai media membuat liputan mengenai keadaan di sekitar Masjid Al Aqsa. Media antarabangsa pun ramai.

Kawalan polis Israel pula agak ketat memandangkan beberapa insiden yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Seorang pemuda Palestin yang kami ajak bersembang sebentar tadi mengatakan bahawa rakyat Palestin ingin mengadakan demonstrasi sekali lagi malam ini untuk menzahirkan rasa tidak puashati mereka kepada pihak berkuasa Israel.

Apapun, kami berdoa hajat untuk menjejakkan kaki ke Masjid Al Aqsa malam ini akan dimakbulkan Allah selain melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Malam tadi selepas solat maghrib di Masjid Al Aqsa, berlaku pertempuran antara rakyat Palestin dan askar Israel di luar perkarangan masjid. Bila insiden ini berlaku, kami terpaksa berlindung di masjid sehingga keadaan reda dan terpaksa bergerak keluar menggunakan pintu lain untuk mengelak terperangkap dalam sebarang pertempuran.

Dari dalam masjid, kami boleh mendengar dengan jelas teriakan rakyat Palestin yang membuat bantahan, bunyi siren kereta polis Israel serta bunyi tembakan. Kami diberitahu oleh penduduk tempatan, pertempuran malam tadi berlarutan sehingga 2 pagi tadi dan ada beberapa orang cedera seperti dilaporkan media di sini.

Minta maaf kami tak dapat nak kongsikan banyak gambar dan cerita buat masa ini. Cuma saya boleh maklumkan, kami semua selamat dan sekejap lagi akan bergerak semula ke Jordan.

Selama 2 hari berada di Jerusalem dan meninjau keadaan di sekitar Masjid Al Aqsa, membolehkan kami lebih memahami perjuangan rakyat Palestin. Dan video beserta doa ini menunjukkan kesungguhan mereka dalam meneruskan perjuangan.

Pagi tadi kami memasuki semula Masjid Al Aqsa selepas berlakunya pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan malam tadi. Sungguh tak disangka, pihak berkuasa Israel akhirnya tunduk kepada desakan penunjuk perasaan yang mahu mesin pengimbas atau mesin pengesan logam tidak digunakan di semua laluan masuk ke masjid. Mesin pengimbas inilah antara punca berlakunya protes selama 11 hari.

Semalam, kami semua perlu melalui mesin pengimbas ini selain semua beg diperiksa. Hari ini semua mesin telah dicabut. Walaupun demikian, polis Israel masih mengawal ketat sekeliling masjid. Malah mereka mengiringi setiap masa rombongan pelawat Yahudi yang mengunjungi masjid tersebut manakala pengunjung berbangsa lain bebas bergerak tanpa kawalan. Keadaan ini, sedikit sebanyak memudahkan petugas media Malaysia melakukan tugas mereka.

Usaha kami untuk memasuki Masjid Al Aqsa semalam. Terpaksa mencuri-curi merakam gambar di sebalik kawalan ketat polis Israel. Kawalan diketatkan selepas 2 anggota polis Israel mati ketika bertempur dengan penunjuk perasaan.

Seorang imam masjid juga cedera ditembak polis Israel ketika tindakan menyuraikan tunjuk perasaan selain ramai penduduk Palestin yang dilaporkan cedera. Media melaporkan setakat ini, 3 penduduk Palestin turut terbunuh ketika bertempur dengan polis Israel.

Sementara pertempuran di luar Masjid Al Aqsa reda, kami dipelawa oleh 2 orang kanak-kanak Palestin iaitu Khalid dan sepupunya iaitu Zahid untuk minum teh yang mereka sediakan.

Menurut Khalid, dia sudah biasa dengan suasana tunjuk perasaan ataupun suasana tegang libatkan penduduk Palestin dan polis Israel. Walaupun, berlaku pertempuran, dia dan adiknya tetap ke masjid.

Selain bersolat berjemaah, dia menyajikan teh kepada pelancong yang ke masjid tersebut untuk mendapatkan sedikit wang bagi membiayai yuran persekolahan dirinya. Untuk pelajar berusia 13 tahun sepertinya, Khalid perlu membayar kira-kira RM360 setahun yuran persekolahan, iaitu satu jumlah yang agak mahal bagi rakyat Palestin yang tinggal di Jerusalem.

Ada orang bertanya saya, kenapa kami tidak memakai jubah atau pakaian yang lebih kemas untuk beribadat di Masjid Al Aqsa. Sebenarnya, bukan kami tidak mahu berpakaian kemas dan berkopiah tetapi atas nasihat penduduk Palestin kami terpaksa memakai seperti dalam gambar di bawah.

Menurut penduduk Palestin, dalam keadaan tegang dan mudah berlaku pertempuran, adalah lebih baik memakai pakaian yang memudahkan kami melarikan diri bila perlu. Jadi kami ambil nasihat mereka dan terbukti malam tersebut memang berlaku tunjuk perasaan yang berakhir dengan pertempuran.

Lagipun, dalam kumpulan kami bukan semua berugama Islam. Ada juga yang beragama Hindu dan Buddha. Jadi apa saja keputusan yang dibuat, mesti mempertimbangkan keselamatan semua ahli kumpulan.

Ketika berjemaah solat Maghrib di Masjid Al Aqsa kami bertemu dengan Isa Mohammad Hassan, lelaki tua berusia 79 tahun. Beliau ke masjid ini setiap hari untuk menunaikan solat fardu. Kami bertanya kepadanya kenapa tidak turut serta dalam protes bersama rakyat Palestin yang lain?

Menurutnya, beliau tidak sanggup untuk melihat tiada seorang pun umat Islam yang solat di masjid itu waima walaupun kerana protes terhadap Israel.

Katanya, solat berjemaah di masjid itu perlu dihidupkan setiap masa tanpa putus biar apapun alasannya dan beliau sendiri sudah berpuluh tahun bersolat 5 waktu di situ.

Dan kerana itu, beliau tidak menyertai protes apatah lagi polis Israel tidak pernah menghalangnya atau mana-mana pengunjung bersolat di situ asalkan melalui laluan pemeriksaan yang ditetapkan. Namun dari segi perjuangan menuntut hak Palestin, beliau akan tetap utuh bersama dengan seluruh rakyat Palestin katanya.

Malam tadi, hanya 21 orang yang bersolat jemaah di situ termasuk 14 anggota rombongan kami. Biasanya di masjid tersebut, antara 500 hingga 1,000 orang akan hadir menunaikan solat 5 waktu manakala solat Jumaat mencecah lebih 100,00 ribu jamaah.

– PRU14.tv

0 komentar: