Bujang Senang

Bujang Senang

1 Apr 2018

Banyak yang diusahakan PM Najib untuk Sarawak - Abang Johari


KUCHING, 31 Mac - Banyak program pembangunan kerajaan persekutuan dilaksanakan di Sarawak di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkali ganda jumlahnya berbanding semasa negara dipimpin seorang bekas perdana menteri sehingga menjangkau 22 tahun, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Malah, menurutnya dalam tempoh yang singkat beliau menerajui Sarawak, hasil rundingannya dengan perdana menteri memperlihatkan banyak keputusan yang diambil Najib benar-benar menggambarkan keikhlasan kepimpinan negara untuk mendengar dan bekerjasama bagi membantu Sarawak.

Beliau memberi contoh komitmen Najib untuk melaksanakan Lebuhraya Pan Borneo, penjualan empangan hidroelektrik Bakun kepada kerajaan negeri, perbincangan mengenai syarikat minyak dan gas negeri Petros, kelulusan projek-projek pembinaan jambatan bagi merealisasikan jalan pesisir pantai Sarawak, dan banyak lagi.

"Malah sejak menjadi perdana menteri, Datuk Seri Najib sudah datang ke Sarawak ini sehingga 160 kali, pernah meninjau sehingga ke kawasan pedalaman di kawasan Ulu Kapit sana," katanya semasa melancarkan jentera pilihan raya kawasan Parlimen P194 Petrajaya di Pusat Konvensyen Penview, Sejingkat, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata apabila seseorang pemimpin itu telah bersara, beliau tidak seharusnya campur tangan dalam gaya kepimpinan pemimpin baharu yang berubah mengikut tuntutan serta peredaran zaman, dan menurutnya gaya kepimpinan Najib ketika ini dilihat cukup serasi dengan Sarawak, yang menjadi agenda penting dalam memacu pembangunan negeri.

BERNAMA

0 komentar: