Bujang Senang

Bujang Senang

7 Apr 2018

PRU14: SUPP sedia rampas kembali enam kerusi Parlimen


Dr Sim berkata berdasarkan sokongan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan penduduk Cina di negeri itu, beliau yakin BN mampu merampas semula enam kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU13. - Gambar fail

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kini berada di tahap terbaik untuk merampas kembali enam kerusi Parlimen yang pernah tewas sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presidennya, Prof Datuk Dr Sim Kui Hian berkata amat penting bagi Barisan Nasional (BN) Sarawak mencapai kemenangan besar pada PRU14 bagi memperkukuhkan perjuangan negeri itu menuntut hak-haknya yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebelum ini, pada PRU13, BN Sarawak telah kalah enam daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di mana kesemua kerusi yang kalah itu adalah dimiliki SUPP.

Parlimen Stampin, Bandar Kuching, Sarikei, Sibu dan Lanang tewas kepada DAP manakala, Parlimen Miri tewas kepada PKR.

Bagaimanapun, hanya satu kerusi SUPP sahaja yang menang iaitu Parlimen Serian yang dimenangi Datuk Seri Richard Riot Jaem, yang juga Menteri Sumber Manusia.

Dr Sim berkata, berdasarkan sokongan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan penduduk Cina di negeri itu, beliau yakin BN mampu merampas semula enam kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU13.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran seminar awam 'Inisiatif Satu Jajaran Satu Laluan (OBOR): Cabaran dan Peluang Sarawak' oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg, di Dewan Sa'ati, Ibu Pejabat SUPP di sini, pada Jumaat.

Justeru, beliau meminta pengundi kaum Cina supaya mengubah mentaliti kononnya mereka patut mengundi BN untuk berkuasa di peringkat negeri dan pembangkang di peringkat persekutuan.

Susulan kekalahan teruk pada PRU13 pada 2013, SUPP berdepan krisis dalaman sehingga beberapa pemimpinnya keluar parti lalu menubuhkan parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Bagaimanapun, bulan lepas, kedua-dua parti itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam menghadapi PRU14.

Di samping itu, kedua-dua parti itu bersetuju untuk menerokai dan mengambil langkah ke arah penyatuan untuk menjadi satu entiti politik yang lebih besar demi kepentingan masyarakat Cina dan komuniti lain di bawah semangat BN.

-- BERNAMA

0 komentar: